Federal Land Development Authority - Kenyataan Akhbar YB Pengerusi FELDA - Pembayaran Insentif Khas Peneroka FELDA RM 5,000

Kenyataan Akhbar YB Pengerusi FELDA - Pembayaran Insentif Khas Peneroka FELDA RM 5,000

pengumuman2

Kenyataan Akhbar YB Pengerusi FELDA - Pembayaran Insentif Khas Peneroka FELDA RM 5,000.

KUALA LUMPUR — Rabu, 20 September 2017: FELDA ingin membuat penjelasan berhubung satu laporan portal The Malaysian Insight yang menemu bual anak peneroka di Felda Jengka 10 dan peneroka Felda Jengka 12 yang mendakwa bahawa FELDA masih tidak membayar insentif seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 23 Julai 2017.

Pada hakikatnya, di Felda Wilayah Jengka sahaja, seramai 8,750 orang peneroka atau 83% telah menerima bayaran insentif RM5,000 tersebut setakat 19 September 2017.

Bagi Felda Jengka 10, 355 daripada 370 peneroka yang layak penuh telah pun menerima bayaran manakala bagi Jengka 12 pula seramai 274 daripada 342 yang layak penuh telah menerima bayaran insentif tersebut.

Peneroka yang layak penuh atau peneroka yang bersama FELDA adalah peneroka yang kebunnya diuruskan sepenuhnya oleh FELDA dan juga peneroka yang menghantar hasil berterusan ke FELDA (bagi tempoh Januari — Jun 2017).

Di seluruh Malaysia pula, seramai 79,093 peneroka telah menerima insentif khas berjumlah RM5,000 seorang secara berperingkat iaitu pada 30 Ogos dan 19 September 2017.

Pembayaran ini dibuat menerusi akaun bank persendirian peneroka yang telah dikemaskini di pejabat rancangan masing-masing.

Sebahagian peneroka yang mempunyai masalah teknikal akan menerima bayaran secara tunai pada penghujung bulan September 2017 manakala bagi peneroka yang masih tidak mengemaskini akaun bank akan dibayar melalui cek pada bulan Oktober 2017.

Menurut semakan FELDA, peneroka Jengka 12 yang ditemu bual oleh portal berkenaan tidak menghantar hasil dari Januari hingga Jun 2017 menyebabkan beliau tidak layak untuk menerima insentif ini.

Walau bagaimanapun, beliau telah menandatangani surat akuan untuk kembali bermuafakat bersama FELDA. Sekiranya beliau menghantar hasil kepada FELDA secara berterusan dalam tempoh enam bulan, beliau akan menerima insentif ini bermula Februari 2018.

Selain itu, ibu kepada anak peneroka Felda Jengka 10 yang ditemu bual juga sebenarnya telah menerima bayaran insentif tersebut pada 19 September 2017.

Tamat.

 

TOP